Bahasa Melayu (Tulisan Jawi: بهاس ملايو; Tulisan Rejang: ꤷꥁꤼ ꤸꥍꤾꤿꥈ) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Indonesia, Malaysia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Asal usul pertumbuhan bahasa Melayu berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[3] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan di Brunei, Indonesia (sebagai bahasa Indonesia), Malaysia dan Singapura. Di Indonesia, bahasa standard Melayu berkembang dan dipiawaikan menjadi bahasa Indonesia. Kerajaan Malaysia pernah berhasrat menamakan bahasa kebangsaan sebagai "bahasa Malaysia" sebagai bahasa cadangan untuk menentang bahasa Indonesia yang sebenarnya ialah bahasa standard Melayu yang dipiawaikan dan digunakan secara rasmi sebagai bahasa kebangsaan di Indonesia, namun konsep itu bertentangan dengan keterangan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Kemboja, Selatan Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah 77 juta[4] dan lebih 300 juta jika penutur bahasa Indonesia tergolong dalam bancian.[5] Selain itu, sekira s. 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu.[petikan diperlukan]
Bahasa Melayu Piawai (disebut juga sebagai Bahasa Standard Melayu atau Bahasa Baku Melayu) ialah Bahasa Melayu Riau yang berasal dari Riau (Indonesia), seperti yang dipersetujui dan diiktiraf oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau seterusnya dikenali sebagai induk kelahiran bahasa Melayu yang dipakai sebagai bahasa rasmi kebangsaan pada zaman moden. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan "Bahasa Malaysia" atas sebab politik untuk menentang Bahasa Indonesia. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada "Bahasa Malaysia" sebagai simbol bahawa bahasa ini ialah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Namun begitu, hal tersebut tidaklah dapat dibenarkan sebab menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu". Sehingga sampai masa ini, tiada pertukaran nama bahasa Melayu ke bahasa Malaysia terjadi.[6]
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, Bahasa Melayu Riau berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Sumatera Utara (terutama di Medan), Riau, Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia. Di Timor Leste, meski telah terlepas dari Indonesia, Bahasa Indonesia masih tetap dikekalkan sebagai bahasa rasmi utamanya sebagai "bahasa bekerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang dari Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia) dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan dan bahasa Indonesia lah yang kemudian berkembang menjadi satu bahasa rasmi ASEAN selain daripada bahasa Inggeris sebab lagi banyak penutur bahasa Inonesia dalam perkiraan berbanding penutur bahasa Melayu, dan pada asasnya bahasa Indonesia masih boleh dipahami oleh sebahagian besar penutur bahasa Melayu terutama yang sudah lazim dalam Bahasa Melayu Piawai (juga disebut Bahasa Standard Melayu atau Bahasa Baku Melayu) yang sememangnya berasal dari Bahasa Melayu Riau.[7][8]