Perlis (Jawi: ڤرليس, Bahasa Thai: ปะลิส Pâlit, ปลิศ Palit atau เปอร์ลิศ Perlis)[nota 1] atau juga digelarkan secara popularnya dengan nama Perlis Indera Kayangan merupakan negeri yang terkecil di Malaysia terletak di utara Semenanjung negara tersebut dan bersempadan dengan Provinsi Satun dan Songkhla, Thailand di sebelah utara, dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat pada 20 Mei 1843 apabila Siam melantik Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis. Bermula dari tarikh itu, Perlis yang asalnya sebuah daerah jajahan Kedah bertukar menjadi sebuah negeri naungan yang berdaulat.
Sejarah mengenai asal-usul nama negeri Perlis adalah kurang jelas. Terdapat banyak kisah atau andaian yang menceritakan tentang asal-usul nama Perlis. Berikut merupakan beberapa andaian atau kisah yang diketahui:-
Menurut seorang tokoh sejarawan Malaysia iaitu Haji Buyong Adil, terdapat beberapa cerita yang mengisahkan kononnya nama Perlis itu berasal daripada perkataan Siam iaitu “Phrau Loi” (Maphrau Loi มะพร้าวลอย) yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipelat dan dipendekkan bunyinya oleh orang Melayu lalu menjadi ‘pereleh’ atau Perlis.
Sumber kedua menyatakan bahawa kononnya nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis.
Sumber yang ketiga pula menyebut negeri Perlis mendapat namanya daripada nama sebuah kubur di Bukit Mengulang iaitu kubur Tok Perlis. Kubur tersebut adalah milik seorang tokoh ulama yang terkemuka di Nusantara iaitu Tok Perlis.
Sumber yang keempat mengatakan nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘perlus’. Kebanyakan tanah dalam di Perlis ialah tanah sawah. Pada musim kemarau, tanah sawah akan merekah. Sesiapa yang berjalan akan ‘terperlus’. Dari perkataan ‘perlus’ itulah, Perlis mendapat namanya.
Menurut sebuah buku yang tulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, dipercayai bahawa nama negeri Perlis berasal daripada nama sejenis pokok yang dikenali sebagai pokok perlis yang pernah wujud tumbuh dengan begitu banyak di negeri tersebut terutama sekali di kawasan pinggir sungai namun telah pun pupus. Ia turut disokong kebanyakan sejarawan setempat.
Gelaran Indera Kayangan diberikan oleh Tuanku Raja Syed Hussin Jamalullail (1843-1873) diilhamkan dari bandar Indera Kayangan II, kota diraja negeri tersebut dari 1797 sehingga 1813 yang pernah terletak di Kampung Langgar, Kayang.[3] Namun demikian, gelaran ini menjadi kurang digalakkan berikutan suatu titah Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada tahun 2015 yang menurutnya tidak selari penamaan rasmi termaktub malah mengelakkan konotasi berkaitan dewa tertentu (yakni seperti Indra yang hampir bersebutan nama sama).[2]