Pencemaran ditakrifkan sebagai pembuangan benda atau bahan hasil daripada aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Pencemaran dapat dikategorikan kepada pencemaran air, pencemaran udara, dan pencemaran bunyi. Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak, dan najis oleh sesetengah pihak atau individu merupakan penyumbang kepada pencemaran air. Selain itu, penerokaan kawasan baharu untuk tujuan pembangunan dan pembinaan juga menjadi punca pencemaran air. Penerokaan yang dijalankan akan menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah tersebut akan memasuki sungai. Mendapan akan terbentuk lalu menyebabkan paras sungai semakin cetek. Hal ini meningkatkan risiko berlakunya banjir.
Punca pencemaran air yang lain ialah pembuangan sisa bahan buangan industri seperti sisa toksik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, kekurangan pengetahuan menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba untuk mengelakkan diri daripada menjalani piawaian keselamatan yang ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar.
Pencemaran udara pula berlaku apabila wujud bendasing dalam kepekatan udara yang berbahaya kepada hidupan. Pencemaran udara berpunca daripada asap kenderaan dan pembebasan asap stesen jana kuasa pembakaran bahan api industri. Pembakaran sisa buangan di kawasan perumahan secara tidak terkawal juga memberi kesan kepada pencemaran udara. Jumlah kenderaan di seluruh negara didapati meningkat dari semasa ke semasa. Keadaan ini menjejaskan alam sekitar kerana gas karbon monoksida daripada asap kenderaan dapat memudaratkan kesihatan manusia dan menipiskan lapisan ozon juga.
Kurangnya peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan juga menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran alam sekitar secara berterusan. Pihak kerajaan seharusnya lebih cakna terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi melalui setiap projek pembangunan yang dijalankan oleh mereka.
Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk mengurangkan masalah pencemaran yang telah dikenal pasti ini supaya kualiti alam sekitar tidak menjadi semakin teruk pada masa akan datang. Hal ini penting agar tahap kesihatan rakyat di negara kita sentiasa terjamin.